KENAIKAN harga gula seperti yang diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) baru-baru ini bukanlah satu bebanan besar kepada orang ramai.
Dengan anggaran sebuah keluarga yang dihuni lima orang menggunakan sekitar dua kilogram gula sebulan, kita sebenarnya hanya menambah perbelanjaan 40 sen sebulan kerana gula bukanlah makanan ruji.
Di sebalik itu, kerajaan masih menanggung bebanan yang besar iaitu sekitar RM1.008 bilion setahun untuk menampung subsidi harga gula sebanyak 60 sen sekilogram demi kesejahteraan rakyat.
Kenaikan harga pasaran gula dunia yang semakin menyesakkan telah menyebabkan kerajaan tiada pilihan selain bertindak menarik subsidi sebanyak 20 sen. Jika tidak, kerajaan terpaksa menanggung subsidi sebanyak RM1 untuk sekilogram gula.



