Sejak sekian lama sunnah telah bercampur dengan hadits-hadits yang dhaif, palsu, dusta, hadits yang direka-reka dan mungkar. Namun hadits-hadits palsu ini tersebar luas di dalam masyarakat dengan banyak sekali, hingga mereka (para pendakwah) hampir tidak menyebutkan hadits-hadits yang sahih lantaran terpesona dengan hadits-hadits yang popular tetapi palsu ! Antara hadits yang masyhur, yang tersebar dan digunakan sebagai dalil kemuliaan bulan Ramadan ialah:-
“Rejab bulan Allah, Sya’aban bulanku dan Ramadan bulan umatku”
Tulisan ini bukan bertujuan untuk menafikan kemuliaan bulan Ramadan, tetapi untuk menyanggah ‘pendustaan terhadap Rasulullah’ oleh sebahagian ulama (termasuk ulama JAKIM dan ulama Pas) yang menjadikan hadits tersebut sebagai bahan dakwah.
Ungkapan “Rejab bulan Allah, Sya’aban bulanku dan Ramadan bulan umatku” ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dhaif, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu’at al-Islamiyyah, Halab, Syria).
Nama penuhnya Ibn Jahdam ialah ‘Ali bin ‘Abdillah bin Jahdam al-Zahid yang meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah memang terkenal sebagai seorang ahli sufi pereka hadis di Mekah. Selain ungkapan di atas, beliau juga adalah pembuat hadis palsu mengenai ’solat Raghaib’, iaitu solat pada Jumaat pertama bulan Rejab.(lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-’Itidal fi Naqd al-Rijal, 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, Beirut)
Sesuatu yang bukan datang dari lisan Rasulullah tetapi dikatakan dari Rasulullah, adalah satu pendustaan yang sangat tidak wajar. Nabi SAW bersabda :
“Sesungguhnya berdusta ke atasku (mengguna namaku) tidak seperti berdusta ke atas orang lain. Barangsiapa berdusta ke atasku, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” Hadis ini adalah mutawatir (Riwayat Bukhari dalam kitab al-Janaiz dan oleh Muslim dalam muqaddimah sahihnya).
“Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka”. (Riawayat Bukhari dalam kitab al-’Ilm dan oleh Muslim dalam muqaddimah sahihnya).
“Pada akhir zaman akan ada para DAJJAL lagi pendusta. Mereka membawa kepada kamu hadis-hadis yang tidak pernah kamu dan bapa-bapa kamu mendengarnya. Kamu hendaklah berhati-hati dengan mereka, agar mereka tidak menyesatkan kamu dan memfitnah kamu” (Riwayat Muslim dalam muqaddimah sahihnya).
Tulisan ini bukan bertujuan menimbul polemik atau konflik pendapat di bulan yang mulia ini, tetapi sebagai pengajaran dan mahasabah kepada para pendakwah supaya berhati-hati dalam menyampaikan dakwah Islam, supaya orang awam tidak disogok dengan ’Islam klon’ sebaliknya hanya menerima Islam yang murni, yang bersih dari syirik, kurafat dan bida’ah, yang benar-benar datang dari Rasulullah SAW.
(Tulisan ini adalah dipetik dan disunting semula daripada sebahagian ’polemik ilmiah’ antara Abu Ihsan@DAP MELAYU dengan Dandarawi S, berhubung dengan beberapa tulisan beliau di ruangan Agama, Berita Harian pada bulan Oktober 2003)
[ toyu ] sumber dari sini.



