[ :: t o y u :: ] toyu2u [dot] com

[ :: paparan kelangsungan hidup... :: ]

Belajarlah menghormati ilmu…

Posted by toyu On June - 28 - 2010

Dua kali sebulan, saya memberi kuliah penulisan kepada para wartawan. Semakin lama memberi kuliah, saya mula mencari kelainan dalam berceramah dengan menggunakan slaid sebagai daya penarik. Maklumlah, kuliah pengetahuan biasanya cepat membosan dan mudah membuat mata para pesertanya layu. Lagi pula, slot kuliah saya biasanya diberikan selepas waktu makan tengahari.

Baru-baru ini, saya cuba pula memasukkan muzik latar di dalam slaid kuliah powerpoint saya agar menjadi lebih menarik. Saya gagal meskipun setelah beberapa kali cuba memasukkan muzik format MP3 ke dalam slaid powerpoint saya. Nota di skrin komputer menyatakan bahawa saya perlu menukar format MP3 itu ke format wav.

Saya memang tak pandai melakukannya. Setelah menggaru kepala, saya tercari-cari anak sulung saya yang mempunyai kemahiran kejuruteraan komputer. Malangnya dia sedang nyenyak tidur. Dengan perasaan bosan, saya bertanya pula anak perempuan saya yang berusia 11 tahun. Sengaja membuang pertanyaan tanpa bermaksud apa-apa.

Dengan selamba dia datang dan meminta saya beralih dari kerusi komputer. Dengan pantas jari jemarinya menari-nari membuka fail video converter yang tersimpan di dalam cakera padat komputer. Tidak sampai lima minit muzik format MP3 telah ditukar ke format wav. Tanpa berkata apa-apa, dia terus bangun dan meniarap kembali di lantai untuk menyambung lukisan kartunnya.

Untuk sekian kalinya saya rasa terpukul. Teringat kembali akan kata-kata, ‘kecil jangan disangka anak, besar jangan disangka bapa.’ Dari semasa ke semasa saya akan mengalami situasi bilamana saya disedarkan bahawa tidak semestinya ‘orang yang terlebih dahulu makan garam itu’ tahu semua perkara. Malah, bidalan itu sudah tidak relevan kerana ia berkait dengan pengalaman.

Selain daripada pengalaman, yang penting pada hari ini adalah pendedahan. Pengalaman selalunya mengambil masa untuk dijadikan pengetahuan. Sedangkan pendedahan pula begitu pantas berubah menjadi pengetahuan. Oleh kerana orang muda lebih mudah menerima pendedahan, maka mereka lebih pelbagai ilmu daripada kita yang banyak bergantung kepada pengalaman. Pada era IT ini, ada banyak sekali perkara yang tidak diketahui oleh orang dewasa sebenarnya bukan sahaja menjadi kemahiran orang muda dan kanak-kanak, malah menjadi mainan seharian mereka.

Kerana itu, dalam banyak perkara kita yang dewasa perlu belajar daripada orang muda. Saya teringat bagaimana tabiat berdoa sebelum makan itu diperkenalkan oleh anak-anak saya ketika mereka bersekolah TADIKA. Bagi saya yang sudah berpuluh tahun hidup, cukup sahaja dengan bacaan bismillah sebelum menyuap makanan. Namun, apabila diajar oleh anak-anak, melalui amalan mereka baharulah saya mula mengamalkannya.

Pada hari ini, ada banyak ketika saya berbual dengan para remaja dan mereka memberi pandangan mengenai perkara-perkara yang selama ini saya tidak ambil serius. Sejarah Empayar Uthmaniah yang saya pelajari untuk peperiksaan Islam di SPM pun saya mula pelajari semula dengan lebih bermakna melalui penceritaan mereka. Begitu juga sejarah perselisihan orang-orang Yahudi dan Arab hingga tercetusnya pergolakan perebutan bumi Palestin juga saya pelajari melalui mereka yang lebih muda daripada saya.

Yang penting ialah belajar. Untuk memperoleh ilmu, kita bukan sahaja melalu proses learning iaitu belajar, malah unlearn dan relearn atau membuang apa yang telah lama kita ketahui untuk belajar semula. Contoh yang mudah, jika dahulu kita merakam menggunakan tape recorder, kini kita boleh merakam menggunakan MP3. Jika dahulu satu keluarga akan makan apa yang emak masak, kini satu keluarga boleh duduk semeja dan makan apa yang masing-masing sukai.

Budaya, gaya hidup dan cara hidup sudah berubah. Kita mesti menyedari akan perubahan itu jika tidak mahu dianggap kolot. Jika selama ini, anak-anak diumpamakan kain putih dan ibubapalah yang mencorakkannya, kini jika ibubapa adalah kain yang bercorak, anak-anaklah pula yang akan memutihkannya kembali.

Yang penting pada hari ini bukanlah siapa yang mengajar siapa, atau siapa yang belajar daripada siapa, tetapi sikap kita menghormati ilmu dan menghormati siapa yang ahli di bidangnya.
[ toyu ] Artikel yang menarik oleh saudara Norden mohamed, dipetik dari sinar harian bertarikh 16 Jun 2010  pada m/s N14-cetusan

Leave a Reply

VIDEO

UNTUK IKUTI SIRI SIRI SETERUSNYA, SILA KLIK... SIRI 2 | SIRI 3 | SIRI 4 | SIRI 5 | SIRI 6 | SIRI 7 | SIRI 8 | SIRI 9 | SIRI 10 | SIRI 11 | SIRI 12 |

TAG CLOUD

Sponsors

About Me

Salam sejahtera buat anda para tetamu dan juga para sahabat sekelian yang sudi datang ke laman [ :: toyu :: ] ini. Semuga anda semua dalam keadaan sehat ceria dan maju jaya dalam apa jua yang anda semua ceburi. Disini disertakan serba sedikit maklumat mengenai toyu. toyu2u ini saya wujudkan untuk dijadikan ruang untuk berkongsi maklumat maklumat mengenai apa jua isu, dimana melalui laman ini sesiapa sahaja pun akan dapat mengikutinya. Semoga kita semua mendapat manafaat darinya atas apa yang kita perkongsikan. Saya himpunkan dalam ini maklumat maklumat yang mungkin dapat kita mengambil faedah dan manafaat darinya untuk kelangsungan hidup kita ini. Dan juga disini saya ingin merakamkan terima kasih yang tak terhingga pada mereka mereka yang mana telah mengeluarkan apa jenis maklumat dan diletakkan dalam laman ini. Sekira anda mempunyai atau ingin berkongsi sama ada maklumat atau artikel atau bahan mp3 atau apa apa saja yang anda ada, boleh lah emelkan pada saya di toyu@toyu2u.com Selamat melayari toyu2u.com.

Twitter

    Photos

    Activate the Flickrss plugin to see the image thumbnails!